22 May 2025

Hampir Kena Scam Lagi

 Cerita tahun lepas duduk dalam draf. Baru ni ha nak post.

Gigih betul scammer sekarang. Minggu lepas (Akhir Nov 2024 punya cerita) aku dapat whatsapp dari seorang yang menyamar nama Rozana. Dia minta sebutharga hantar barang pembinaan (dia dah kaji ye aku ni jual apa). Lokasi dia kat SK Tanjung Tohor, Muar, padehal aku dekat Melaka (red flag pertama). Aku tanya kenapa minta sebutharga macam ni bukan melalui ePerolehan. Dia call aku (suara cakap bunyi Sabahan). Dia cakap ini serbutharga tertutup. Aku tulis dialog la senang eh.

Rozana : Salam puan, saya Rozana dari Jabatan Pendidikan Melaka nak minta sebutharga. Boleh puan bagi saya secepat mungkin?

Aku : Walaikumsalam, boleh saya tau kenapa minta sebtharga guna whatsapp ye. Biasa guna ePerolehan.

Rozana : Oh, ini sebutharga tertutup puan, kami nak cepat. 

Aku : Siapa yang bagi awak nombor saya ni ye.

Rozana : Ada staf dekat jabatan yang bagi.

Aku : Siapa?

Rozana : Puan nak tau siapa ke.

Aku : Herm takpe la. (Betapa bodohnya aku tak bagi dia jawab soalan). Lepas tu saya nak tanya bayaran macam mana? Sebab saya tengok ni banyak. 

Rozana : Puan jangan risau, barang sampai je kami terus buka cek dan bayar. (Red Flag kedua). Puan jangan risau tentang pembayaran. 

Aku : Oh, biasanya barang semua sampai baru saya dapat bayaran. Maksudnya apa yang saya hantar akan dibayar terus?

Rozana : Ye puan, kami dah dapat duit untuk projek ni. Jadi puan jangan risau tentang bayaran. 

Maka aku pun dengan gigih buat sebutharga dan bagi kat dia hari Jumaat petang dalam pukul 6. Hari Isnin dia diam je. Hari Selasa dia bagitau aku dia MC hari Isnin so Selasa baru masuk meeting dengan bos. Petang tu dia bagitau sebutharga tu lulus dan dia akan bagi surat. Petang tu jugak dia tanya aku nak barang urgent hantar kat sekolah tu.

Hari Rabu dia contact aku nak barang tu hari ni jugak. Barang tu bukan murah ye RM16k macam tu. Dia nak generator brand Ecoflow 4000 watt. Padehal benda yang dia nak tu takkan masuk Malaysia sampai tahun depan. Aku google website cari supplier dan call tapi memang tak dapat la sebab tu takde kat Malaysia.

Aku cakap dia aku takleh supply barang yang dia nak sebab tak dapat. Eh tiba-tiba dia bagitau dia ada contact number contractor tahun lepas yang pernah supply barang tu kat aku. Dia suruh aku call orang tersebut. Aku pun call la dan cuba deal. Mula-mula aku tolak je sebab dia acah-acah drama kata takleh hantar hari ni sebab aku cakap aku nak datang store dia terus amik barang sendiri dan dan la kata boleh pulak boleh hantar hari ni gak. Maka aku cakap la buka invoice untuk aku buat transfer. 

Dalam pada masa yang sama si Rozana ni bagi aku surat setuju terima sebutharga tapi amount dia lain daripada apa yang aku dah submit. Aku tanya la kenapa lain, dia jawab oh memang sengaja lebihkan untuk pembelian barang lain. Dia tak tahu aku pernah keje bahagian kontrak kat kerajaan le tu. Mana boleh suka-suka tambah harga cenggitu macam duit mak bapak dia. Aku dah rasa sangsi. Aku tanya gak payment dia macam mana kalau barang sampai pukul 6 ptg. Siapa je ada kat sana. Barang sampai kami terus bagi cheque. Lagi buat aku sangsi pehal lak tunggu aku kat site nak bagi cheque. Biasa kena amik cheque lepas keluar LO. Ingat goverment nak siapkan cheque sebelum hantar atau siap kerja ke. Mana mungkiinnnnnnnnnn....

Aku call pejabat Pendidikan Negeri Melaka cari orang yang bertanggungjawab. Diaorg pun jawab takde orang nama Rozana dan takde keluarkan surat setujuterima dan memberitahu Muar tu Johor mana boleh Melaka masuk sana. Sah aku kena scam ni. Pada ketika itu jugalah whatsapp masuk invois yang aku mintak tadi dan nama syarikat tu betul cumanya no akaun dia nama individu. 

Zassss confirm ini scam. Maka aku block nombor tu on the spot.

Sekian. Hahahahahaha

29 July 2024

Keputusan Terburu-Buru

Wah kemain tajuk post mengundang sangat, padehal nak cerita pasal marathon je. Dah bertahun tak masuk event lari ni sebab takde motivation. Last masuk Virtual Run SCKLM masa PKP tu pun 21km tapi kena buat 2 kali (tak pasal-pasal jadi Full Marathon) sebab larian pertama tak cukup 30meter. 

Larian ni dak Bella yang daftar tapi dia takleh lari. Dia nak jual tapi aku cakap bagi aku lari la (Otak tertinggal kat rumah masa cakap ni agaknya). Oleh sebab tu aku pun start training lari 5km tiga kali seminggu dalam masa sebulan sebelum event sambil menyesal.

Event : Score Marathon 2024

Tarikh : 21 Julai 2024

Lokasi : Putrajaya

Jarak : 21km (Start 4.30 *Cruise - 4 jam)

Nak lari kat Putrajaya jadi kena la bermalam kat area situ. Ni pun macam-macam hal jadi. Dengan yakin booking Shaftsbury tapi tak baca syarat betul-betul. Dak Bella booking dekat D'Pulze apetah nama hotel tu, memang dalam mall tu la. Kat Shaftsbury tu rupa-rupanya check in 9am kena checkout hari yang sama 5.00pm. Kalau nak overnight kena tambah RM30, tapi tetap kena checkout esoknya pukul 8am. Aku pulak abis lari paling lambat pun 8.30am takkan takyah mandi lepas tu. Sebab dak Bella cuma datang nak bagi sokongan moral dan berjalan-jalan aku cadangkan kami bertukar penginapan sebab dak Bella nak swimming pool. Kat D'Pulze takde.  Bijak kan?

Esok paginya keluar dari bilik dalam 3.40am dengan target sampai kat starting line 4.00am tapi tidak ye... Sebab FM dah start banyak jalan masuk dah ditutup. Aku pusing jauh 3 kali nak masuk, dalam hati dah nekad ni kalau aku sampai semua orang dah lari aku pusing balik bilik sambung tido. Tapi nasib aku tetap malang aku sampai diaorang belum lari 😂.

Ringkaskan cerita lari la.. sebab bukan laju pun hahaha. Pace pun 10 lebih takyah berlagak sangat. Cumanya event ni macam tak cukup preparation sebab air kat water station selepas water station kedua manjang takde. Tandas pun tak cukup. Tempat solat pun macam tak kena bagi aku sebab takde sumber air. Nak amik medal dan finisher tee pun kena jalan sikit jauh laaa dengan takde signboard asyik la kena bertanya kat sesape kat situ. 

Kesimpulannya sis berjaya habiskan larian dengan penuh keinsafan sebab training ewah-ewah je.. Lepas km ke 18 sis jalan sesaje sebab kaki dah penat. 

Finisher tee dia cantik tapi saiz L ikut saiz dak Bella. 


Bukti lari sebab coach muaythai kata amik gambar je ni bukan lari pun 😁.


Okey tu je. Bye!


03 July 2024

Scammer Customer Service Shopee Part 3

 Sambungan dari Part 2

Sarjan: Puan dengar ye saya nak dapatkan malumat bahagian IT Bukit Aman takut maklumat puan digunapakai oleh orang lain.

Sis: Okey

*maka Sarjan Azuan pun memulakan komunikasi menggunakan walkie talkie (lebih kurang la ye bunyi diaorang nyembang ayam masak kari)

Sarjan: IPK Pulau Pinang ke Bukit Aman, mohon buat semakan individu nama Puteri Diana Ratnasari Edward no kad pengenalan 98745632154.

BA: Bukit Aman ke IPK Pulau Pinang terima maklumat Puteri Diana Ratnasari Edward no kad pengenalan 98745632154.

Sarjan: Okey puan dah dengar ye Bukit Aman terima no kad pengenalan puan?

Sis: Betul

*sambil tunggu tu sarjan buat-buat la tanya hal peribadi aku bagai siap bagi nasihat tambahan. Tiba-tiba Bukit Aman masuk balik.

BA: Bukit Aman ke IPK Pulau Pinang, maklumat diterima daripada bahagian IT individu Puteri Diana Ratnasari Edward no kad pengenalan 98745632154 didapati merupakan keldai dadah dan mempunyai rekod penggubalan wang haram serta memiliki wang RM228,000.00 didalam akaun.

Sarjan: Puan! Puan dengar tak apa Bukit Aman cakap ni? (dia dah start buat-buat terkejut)

Sis: Ye, saya dengar (sambil ketawa kecik)

Sarjan: Puan faham ke apa Bukit Aman cakap? Puan ada apa-apa yang puan sorok dari saya ke? (nada suara dah tinggi)

Sis: Mana ada..

Sarjan: PUAN! APA PUAN BUAT NI! SAYA DAH TOLONG PUAN NI! PUAN DAH BUAT APA!  (kena capslock baru rasa macam nada suara dia kuat 😄)

Sis: Eh bila pulak saya ada duit banyak tu dalam akaun? Saya tau saya takde duit banyak tu. Awak nak check ke? (sambil ketawa)

Sarjan: PUAN JANGAN KETAWA-KETAWA, NI PERKARA SERIUS! PUAN BOLEH KENA REMAN TAU!

Sis: Haaa takpe la kalau awak reman saya.

Sarjan: PUAN JANGAN MAIN-MAIN DALAM MASA 45 HARI POLIS AKAN DATANG TANGKAP PUAN!

Sis: Takpe la awak datang je la tangkap saya.

*Tuuuttttttt* 

Sarjan dah letak telefon.

Apeke sialnya tak bagi aku letak dulu? Takkan dah koyak awal Sarjan? 

Hahahahahahahahahahaha!

Okeylah, berakhirnya episod sis sipi-sipi nak kena scam tu. Semoga memberi pengajaran kepada pembaca lain supaya tetap berhati-hati. Apa-apa saja panggilan yang *puan akan DISAMBUNGKAN ke balai polis ke jabatan imigresen ke, LHDN ke.. adalah SCAM. Kalau dia kata buat report okey saya pegi sendiri atau saya call sendiri je atau matikan je la call tu.  

02 July 2024

Scammer Customer Service Shopee Part 2

 Okey sambungan Part 1.

Bunyi telefon disambungkan tapi nombor masih sama. Aku siap tengok skrin hp.

Sarjan: Selamat pagi puan. Saya Sarjan Azuan boleh saya bantu?

*maka aku pun bercerita dengan segala detail.

Sarjan: Kenapa puan tak datang ke balai buat laporan?

Sis: Saya kat Melaka bila pulak saya nak sampai kalau nak kena bagi report pukul 11 pagi.

Sarjan: Oh saya faham, baiklah macam ni saya kena rekod keterangan puan dan pastikan puan berada di tempat yang tiada gangguan bunyi atau puan bercakap dengan individu lain. (modus oeprandi mengelakkan orang lain cam kita kena scam). Pastikan bateri hp puan penuh sebab rakaman ni akan mengambil masa yang panjang. Sebelum tu puan boleh semak laman web IPK Pulau Pinang dan bacakan saya alamat dan nombor telefon?

*maka dengan gigihnya aku buka website dan bacakan segala maklumat 



Sarjan: Baiklah puan, saya akan letakkan talian ini dan saya akan call puan semula untuk tujuan rekod laporan. Puan pastikan no telefon yang masuk tu untuk no laporan ye.

*lepas tu dia call guna no 01042221522.

Sarjan: Okey puan tengok no telefon yang masuk tu, 01 adalah kod pita rakaman 042221522 adalah no carian. No ni adalah no yang sama dengan no telefon IPK. Faham ye puan.

Sis: Okey baik.

Sarjan: Okey kita mulakan rakaman dan puan boleh sebutkan nama dan no kad pengenalan selepas itu puan ceritakan kronologi kes ini.

*Sis pun bercerita la dengan segala maklumat yang ada tu... Hahahaha (graf kebodohan sedang meningkat). Siap sis masuk kereta ye sebab tak nak ada gangguan. 

Sarjan: Baiklah puan, saya bacakan semula laporan ini untuk catatan dan saya akan berikan salinan laporan ke Balai Polis berdekatan untuk puan simpan salinan dan kami akan hantar laporan ke alamat kediaman puan yang terkini. Puan boleh bacakan alamat puan?

Sis: Oh boleh hantar ke alamat kedai saya? 

*dengan gigih aku bagi alamat kedai ye... 

Lepas tu dia sembang2 dengan aku untuk dapatkan maklumat peribadi dan aku bagitau gak la cuma takde la detail. Dia cuba korek sebenarnya aku ada musuh ke tak. Sambil tu dia konon-konon nasihatkan aku jangan publish no tel peribadi dan telefon bisnes kena asing takut orang scam (Babi ye)

Sarjan: Okey puan, saya akan semak no IC puan dengan Bukit Aman. Puan tahu kan Bukit Aman ni?

Sis: Tau.

Sarjan: Okey sekejap saya sambungkan.

.

.

.

Okey esok la buat sambungan Part 3. 😂



Scammer Customer Service Shopee Part 1

 Assalamualaikum, hai semua.. (acah2 ramai pembaca)

Okey pagi ni sis terkena panggilan daripada scammer. Sis adalah sejenis manusia kalau ada bau2 scammer ni kita elak siap-siap dengan meletakkan panggilan terus tanpa budi bicara. Tapi pagi ni sis terkena juga hahahaha adoilaaaaaa.. Rasanya hari ini adalah hari bodoh saya. Okey sis buat dialog dan sis pendekkan merapu sis sekali ye supaya senang nak cerita. Marilah semua!

Lebih kurang 9.40 pagi. Dapat panggilan nombor 0125493764. Yang bercakap suara lelaki. Muiz nama dia (Kata dia laaa)

Muiz: Selamat pagi puan.

Sis: Selamat pagi.

Muiz: Saya daripada customer service shopee buat panggilan mengenai laporan ke atas nombor telefon ni berkenaan barang skincare yang dijual tanpa kelulusan KKM.

Sis: Sekejap, awak scammer kan? Saya tak jual pape kat shopee.

Muiz: Saya dari customer service shopee. No tel puan 0123456789 sampai 100 kan? 

Sis: Betul.

Muiz: Nama puan Lidyawati Puteri Kayangan Ledang Harapan Negara kan?

Sis: Ye betul.

Muiz: Kami dapat laporan daripada Jabatan Farmasi Pulau Pinang yang puan jual Glow Glowing tanpa kelulusan KKM. 

Sis: Eh saya tak jual apa-apa. Saya beli je. Macam mana orang tu boleh guna no telefon saya? Siapa yang jual?

Muiz: Nama kedai tu HMS Online Shop. 

*sis pun buka shopee and tengok orang tu jual apa.

Sis: Macam mana dia ni berdaftar dengan shopee tapi guna no telefon saya? Shopee tak check ke? Takde daftar SSM boleh jual suka-suka ke.

Muiz: Saya pun pelik ni puan. Puan kena pergi ke IPK Pulau Pinang untuk buat report. 

Sis: Eh saya kat Melaka bila pulak saya nk pegi sana and kenapa pulak saya kena pegi sampai sana buat report.

Muiz: Puan kena buat sebab no telefon puan digunakan tanpa kebenaran sebelum pukul 11 pagi ni supaya tak kena saman dengan Jabatan Farmasi. 

Sis: Eh laa.. Jauh sangat saya nak buat report. 

Muiz: Saya boleh tolong puan buat E-Report untuk selesaikan masalah ni. Saya boleh sambungkan terus ke IPK Pulau Pinang (masih tak sedar lagi bila sambungkan panggilan ni confirm scammer). Nanti lepas buat report puan kena faks report ke HQ Shopee 03-22673927.

Sis: Ni zaman bila submit report guna faks? Macam mana saya nak tau report ni diterima? Pakai email je la lagi cepat.

Muiz: Okey puan boleh email ke hqshopeemalaysia@gmail.com

Sis: Aik punya besar syarikat ni pakai gmail je ke? (masih dalam mode bodoh 😆)

Muiz: Okey puan kena submit report sebelum pukul 11 pagi ni ye.

Sis: Wahh.. kemain cepat nak saya submit report ye. Time saya buat complaint bukan main lambat respond.

*time ni dak Muiz dah terkedu dah tapi sis masih bengong hahaha

Muiz: Okey puan ambil maklumat ni untuk buat report ye. Nama kedai HMS Online Shop beroperasi sejak 2 bulan lepas di Pulau Pinang. Email kedai healthymartshop@gmail.com. No report Jabatan Farmasi EM166420P. Tarikh Report 29.Jun 2024. Nama produk Glow Glowing. Nama saya Muizuddin Bin Zakaria No staf saya 10911.

*kemahen segala maklumat dia kasi aku.

Sis: Okey

Muiz: Puan tunggu panggilan disambungkan ye jangan letak telefon.

.

.

.

Okey kita buat part dah sambung ke IPK Pulau Pinang pulak.


08 March 2024

GenZ Oh GenZ

Semalam petang dengar radio Kool 101. Lupa tajuk topik tapi berkenaan genZ ni la. Haish panas betul hati aku sebagai gen Millenial ni. 

Topik perbincangan ada majikan cerita dia panggil interview budak genZ tapi dia datang dengan mak dia dan mak dia yang jawabkan interview. *tepuk dahi*

Lepas tu ada la pemanggil seorang doktor cerita tentang keinginan pesakit genZ di diagnos sebagai pesakit mental. Bila doktor kata awak sihat dia boleh tak puas hati dan buat muka sebab dia nak penyakit tu.

 Aku macam.. kau kenapa setan? 

Kenapa kau nak penyakit mental je. Kenapa kau tak nak penyakit seperti kanser ke.. TB ke.. Kurap ke haa.. sebab penyakit mental tak efek fizikal ke cemana? Nampak rupa helok tapi sebenarnya gila? Kau ingat best ke ada penyakit mental? Kau tak cukup kasih sayang ke?

Lepas tu ada pemanggil Iskandar (tak tau nama sebenar ke tak). 

Dia cerita sekarang dia tengah buat internship dan minta kalau boleh company yang ambil budak intern ni boleh tak tanya dulu budak intern tu nak duduk department mana? 

Konsep dia camni.

Aku tengah study architecture, aku intern kat company arkitek la kan. Tapi company tu ada department interior design. Aku suka sangaaattt buat interior design (ID) tapi company tu letak aku kat bahagian arkitek. Aku tak nak tapi aku takleh bantah. Lepas tu aku kena keje waktu cuti sebab nak kejar dateline. Tapi staf permenant boleh cuti. Gaji aku dapat sikit walau kerja aku banyak, cuma dapat elaun Rm300 jadi aku rasa tak adil.

Lagi sekali aku nak tanya.. KAU KENAPA BODOH YE?

Pertama. Kau study architecture kan? Kau intern kat company architect. Kenapa kau nak bahagian ID? Company tu tau ko study architecture dah kenapa dia nak letak kau kat bahagian lain? Nanti kau habis intern kau nk buat report pasal ID ke? Lecturer akan cakap tak guna company tu, aku ajar budak ni archi tapi dia letak department ID.

Kau kalau suka sangat ID tu kau PERGI la amik course ID kenapa kau amik course Archi? Bodoh tu melimpah ruah tau. Lain la ko belajar ID tapi dia letak kau kat department Archi. Tu baru logik kau nak memekak.

Kedua. Kau intern tau bukan pekerja tetap. Kau nak cuti kenapa? Kau paham ke tak kau tengah belajar walau kau dalam suasana kerja. Kau tu menumpang belajar di syarikat orang. Syarikat tu nak amik kau dah cukup baik. Kalau dia tak nak amik student pun tu hak dia. Dapat pulak intern bodoh macam kau. Eh menyusahkan syarikat lagi ada la. Nak uruskan staf sedia ada pun dah pening. Syarikat tak bagi kau cuti sebab diaorang nak bagi exposure kat kau, ini adalah realiti pekerjaan. 

Ketiga. Nak minimum wages? KERJA! Tapi kau INTERN! Kau faham tak? Sijil tak dapat lagi. Pengalaman takde. Social skill pun bersepah. Kau fikir diri kauuuu je kan? Orang lain tak penting. Kau je TERpaling istimewa dan paling penting kat donia ni. Orang nak bagi elaun dah syukur walau kau tak layak. Syarikat bagi ihsan je tau untuk duit minyak kau sebenarnya. Kalau tak bagi pun tu pun hak dia. Dia tak rugi apa. Kau yang rugi takde tempat buat intern. 

Apa-apa kesalahan yang kau buat semasa intern boleh dimaafkan dan tanggungajawab kau tak sebesar permenant staf. Kalau kau dah kerja bos boleh maki kamu sewenang wenangnya, sebab apa? Sebab aku bayar kau gaji yang sepatutnya. Kau dah ada ilmu. Jadi sila buat kerja mengikut gaji, pengalaman dan gaji yang aku bayar. 

Masa intern adalah masa untuk kau belajar suasana pekerjaan yang akan kau hadap lepas graduate. Masa ni la kau BELAJAR macam mana nak handle masalah dalam pekerjaan akan datang. Bukan perasan kau entitle semua keistimewaan macam orang yang dah kerja. Tanggungajwab kau belum tiba ye.

SABAR je la haku dengar si Iskandar tu bercerita. 






09 November 2023

Buli = Bongok

Assalamualaikum. 

Hari tu tertengok kat TikTok seorang peguam share kes buli kat MCKK baru-baru ni. Ya ampun tak habis lagi ye. 

Untuk pengetahuan pembaca (perasan ramai sangat readers ni).. aku pun bekas penduduk asrama penuh kat tuuuttt... Sejak dulu memang kes macam ni ada cuma dulu kat sekolah je le tau sebab takde media sosial. 

Bukan lelaki saja ada kes buli ni, perempuan pun ada tapi perempuan biasanya jarang melibatkan fizikal, biasanya cemburu boyfriend dia ambil adik angkat lawa dari dia je.. 

Pendapat aku la kan... ditekankan d sini AKU ye.. bukan orang lain 

Lelaki ni memang dah tuhan ciptakan nak rasa dia berkuasa. Mungkin dia ada parents yang terlalu mengawal dan tak mahu mendengar apa yang terbuku dalam hati anak (terutama lelaki), maka dia akan salurkan perasaan memberontak tu seperti membuli yang tidak berdaya. 
Untuk apa? Untuk memuaskan hati je. 

Perempuan pun sama tapi perempuan biasanya ada geng yang dia boleh luahkan perasaan. 
Jadi, kuranglah stress dalam hati tu dan perempuan banyak takutnya. 
Lelaki ni dapat pulak ada tukang support dan bersorak masa dia buat kerjaan membuli tu.. dia rasa dia berkuasa la padehal buli orang yang tak berdaya je pun apa yang rasa power sangat pun tak tau la.. 

Tau tak kesan kat orang kena buli? 
Yang paling senang dia akan buli orang lain pulak dan pusingan tu akan berterusan je.. 
Yang tak nak circle tu berulang atau bijak mungkin simpan dendam dan mendoakan sesuatu yang tak baik.. (doa orang teraniaya tu makbul ye) 

Macam aku dulu sebab ada senior lelaki suka kat aku, tak pasal-pasal senior perempuan jeles padehal dia bukan couple pun. Tengah syok tido dia panggil reramai pastu torture (bagi syarahan aka membebel je pun) sambil pegang rotan. 
Maleh nak kabo bukan lawa nau pun senior tu dah la tak lawa perangai pun tak lawa (sesuai sangat). 

Lepas tu ada la masa aku form 3 kot ada senior tak puas hati (lupa pasal apa), hantar junior suruh aku datang kelas dia masa prep. 
Ciss ingat aku takut ke.. aku pesan kat junior tu ko pegi cakap kat senior tu dia nak jumpa aku kan? Dia la datang sini. Hahaha Senior tu mungkin tercabar dengan keberanian aku dia datang kelas aku bersama geng dia pastu bagi leture kat balkoni. Macam la dia tak jumpa aku kat asrama balik prep tu. Bodoh gak senior tu. 

Yang aku terdengar laa kalau budak lelaki ni antara modus operandi buli diaorang.. kalau salah diaorang tipu aku laaa
- pumping sambil ketawa 
- cuci muka dengan air tandas
- belikan senior makanan guna duit sendiri 
- basuhkan baju & iron baju
- urut badan diaorang 
- kena tumbuk kalau nk amik lesen smoking kat asrama (ada upacara khas) 
- bogel (untuk apa aku tak tau) 

Tu je la aku ingat.. tak tau la yang lain. 

Emosi yang dibuli tu bukan boleh dirawat time tu atau habis sekolah kira habis camtu je ye. Termasuk yang perempuan ye.. (aku sampai sekarang tak suka senior tu) 

Kalau ko membuli tu keluar sekolah dapat anugerah ke? Boleh senang mintak keje kat luar negara ke cemana? Kalau tetiba ko jumpa budak ko buli tu kat universiti atau tempat keje? Ko nak berbangga ko penah buli dia masa sekolah ke? 

Yang kes MCKK tu sampai kena private part budak tu nak kira macam mana? 
Kalau aku sebagai parents, nak aku maafkan kau meh aku buat benda sama kat kau. 
Boleh? 

Ada ke patut gantung sekolah 2 minggu, sebat kat tempat tertutup dan buat kerja amal je? 
Parents pembuli tu takde maruah ke? Macam tu ke didik anak? Ke kau dulu pun pembuli? Jadi genetik bodoh tu menurun kat anak ke cemana? 

Sekolah pun bongok tak nak besarkan hal. 
Nak jaga nama baik sekolah konon. 
Nak jaga nama baik tunjukkan yang ko beri hukuman yang adil baru la orang awam rasa selamat nak hantar anak ke sekolah asrama. 

Tak paham le aku. Geram tau. Kalau kena kat anak korang apa korang nak buat?

23 October 2023

Lama Tak Menulis.

Assalamualaikum, ya ampun lamanya tak menjenguk kat blog (acah-acah ramai pembaca) Okey la jenguk sekejap je ni nanti ada masa kita share la aktiviti terkini hahaha (kalau masih rajin) Bye!

22 October 2018

The North Face Outdoor Challenge 2018

First time join event ni sebab badan tengah bosan event lari sesaje. Konon-konon tough le.. Maka terpacul lah aku kat situ.


14 Oktober 2018

Aku register wave A9 sepatutnya start 9.20 am. Tapi dalam email organizer dah habaq mai ampa kena datang awai naa sebab nak kena check i.c, cop tangan la apa la.. Aku pun sampai la dalam pukul 8.10am. lepas cop tangan, letak beg dan buang apa-apa yang patut aku cari la air mineral sebab perut tak masuk pape lagi. Pegi la sesaje tengok kat starting line wave awal nak berlepas, sekali dengan aku berlepas pukul 8.15 am kot. 

Okey kali ni gambar tak banyak mana sebab cari-cari gambar official photographer pun tak muncul-muncul. Kita bubuh le mana yang ada.

Actually sepatutnya kata kena lari 15km (tapi last-last lari 10km lebih sikit kot) pastu ada 8 obstacle. Mula-mula dia bagi lalu kat kolam kecit je lepas tu lari sikit lalu kat lubang apa tah. Boleh le kalau nak lompat tapi tengok eh dalam nau ada yang lutut jahanam pulak. Akak dah tak remaja dik, kenala hati-hati. So akak pass je obstacle tu. Ada la lariii naik bukit lepas tu panjat apa tah turun pakai tali dan lain-lain. Dalam hutan tu ada la gak laluan yang jem, semua trail running mesti ada mende ni la.. tak tau apesal. Diaorang tak buat simulation agaknya. Dengar kata ada peserta yang sesat, dan aku pun ada obstacle yang tak lalu. Kalau tanya bab safety memang out laa.. Banyak tempat yang takde crew jaga. Beza sungguh dengan Rembau Challenge. Water station okey je. 

Lepas je abih laluan trail tu dia bagi main kolam ais. Takde le pulak gambar aku kat sini maka bagi le gambaran cemana aktiviti tu. Lori ais tepi tu dia bubuh selagi ada la ais tu. Masuk dalam peti ada ais tu sejuk nak mampos woi.



Ingatkan lepas tu dah abis rupa-rupanya kena naik slide dan berenang-renang ke tepian (siap life jacket). Kat slide tu pun lama kena tunggu gak (takde gambar gak). Lepas berenang pegang tali tu ingatkan dah abis dah gak, rupa-rupanya tak jugakkkk.. Dia bagi seksaan terakhir panjat tali. Pegi la beratur tengok ramai lelaki pun tak lepas naik. Ada perempuan tu pun 2 kali try tak dapat naik. Aku tanya le budak perempuan depan aku, 'Kalau tak lepas ni kena buat apa ek'. Dia jawab 'Kena push up 20 kali kak. Akak try je la kitaorang dah try tadi tapi tak lepas' (nampak tak aku ni dah tak remaja dah?). Aku cakap 'Ish, tinggi gak tali tu kan. Macam tak lepas je. Takpe la try je'. Aku pun acah-acah lari laju, lepas tu tetiba dapat lak tali tu. Waahhhhh dalam hati eh dapattt... Apa lagi cuba sedaya upaya panjat dan opkos la dengan bantuan budak kat atas tu gak dia tolong tarik. Alhamdulillah.. dapat gak akak lepas cabaran terakhir dengan jayanya. Hoyeeahhhh.

Belanja gambar masa awal-awal dapat tali.Lawa le gak posture tu kan.

Time ni dah tertonggeng dah hahahaha. Dah hulur kaki dulu supaya tangan tak penat le konon.

Okey lepas dah amik medal, makanan bla bla bla, aku dengar announcement kata cabutan bertuah nak start 12pm. tengok jam 11.45am. Cakap kat John Lejen tunggu jap la mana tau ada rezeki. 

Tup-tup aku dapat cabutan bertuah yang pertama. Jadi la kan, tak dapat naik podium sebab laju dapat cabutan bertuah pun dah happy sangat-sangat dah. Hahahahahaha.

Dah dapat hadiah apa lagi.. balik je la. Hahaha buruk nau perangai.

Okey dah tu je laporan minggu lepas. Lambat nau nak cerita.

Assalamualaikum :)

11 October 2018

Sepang F1 2016

Pernah berangan nak pegi F1 tapi tah bila tak tahu la sebab kalau tengok harga tiket macam boleh bayau duit keta sebulan. Ada je yang murah tapi kena duduk kat atas bukit panas berdengkang, aku pulak tak sanggup. Tahun 2016 abang angkat aku call tanya nak pegi ke F1 sebab dia ada tiket sponsor lebih. Aku apa lagi.. onzz je laa. Orang tua-tua kata rezeki jangan ditolak kanss.

2 Oktober 2016

Haa batak la kan pes taim sampai F1. Dalam pukul 10 camtu dah sampai sebab tak tahu event start pukul berapa hahahaha.. Then parking agak jauh la gak sebab rasanya tu paling murah RM50 sekali masuk dan nasib baik gak datang awal sebab parking still banyak. Dari tempat parking diaorang ada sediakan bas setiap 5 minit ke 15 minit la camtu bawak ke entrance. Sebenarnya banyak je entrace dekat dekat tempat parking ikut seat mana kita dapat. 

Pagi pun orang dah berpusu-pusu sampai.
Sebenarnya ada macam-macam aktiviti kat dalam termasuk pameran kereta, booth jualan, ada games, persembahan la.. mini golf, pertandingan macam-macam lagi la.

Lumba start pukul 2pm so kami jalan-jalan pegi makan sebelum masuk kat area Enstek. Lepas tu solat then tak tau buat apa lepak je la. Oh ye makanan dan minuman tak dibenarkan bawa masuk sebab dia nak kau jadi miskin beli makanan dan minuman dalam tu hahahahha.

Sepet dan mama dan baba nampak kepala ciput je.

Kami dapat seat kat sini. Okey la kan.. Alhamdulillah dapat tiket free. Kalau ikut tiket ni pun boleh bayo Vios sebulan rasanya. Tu pun kalau pakai USD deme kata paling murah dalam dunia tiket F1 kat Malaysia ni. Dapat le nengok Elizabeth Tan nyanyi lagu Negaraku.


Belanja la gambar keta tengah lumba tu.. Try upload video tak lepas le pulok. Kalau tengok kat tv 2 jam tengok keta sama pusing-pusing dah kau kenapa? Bosan kot. Tapi bila dah kat sana 2 jam memang tak rasa apa. Tau-tau abis dah ke?


Ni kat area grand stand tapi masa aku dapat masuk ni masa event dah habis.


Ni kawasan hot sebab semua orang teruja nak tengok diaorang tukar tayar dan area ni diaorang baru berlepas.

Tak dapat bergambar dengan keta lumba dapat amik gambar kat dinding pun boleeehhhh..

Lepas lumba diaorang ada konsert. Tapi petang tu ada artis apa tah dengan pajura. Pajura nyanyi memang patut tutup telinga je la weyh serius dia tak tau nyanyi mcam tone deaf je. Tengok pajura takpe sebab dia memang lawa.

Ramai sanggup tunggu Usher time ni termasuklah aku. Bapak lambat dia nak start weyh dah le panaih.

Belanja la video bape saat Usher nyanyi. Nasib baik dia punya performance best. Tunggu lama pun takpe. Tapi aku tengok tak abis laaa.. Sebab esok nak koje so kena le berangkat balik. So kitaorang naik bas yang disediakan pegi kat keta. 

Gambar yang aku paling suka, walaupun panas dan sibuk bekerja diaorang ni tetap jaga solat. I respect u la dik.

10 October 2018

Rembau Challenge 2018

First time register event ni tahun 2016 tapi time tu SEDIH basikal takde so terpaksa DNS.

Tahun ni berkobar-kobar register tapi SEDIH gak basikal TAKDE! Aku ada beli MTB sekenhen tapi tajuk LeRun. Setelah membuat kajian terperinci dan berfikir semasak-masaknya sehingga rentung, aku buat keputusan pinjam basikal member supaya dapat merealisasikan impian abam KJ eh. 

Ni le basikal pinjam ittew baru lepas basuh sebab training le konon padahal pegi bersiar-siar je. Berani nak pakai beskal pink? 
Aku tido kat rumah adik ipar kat Pedas. Nak ke pekan Rembau tu dalam 15 minit. Hari Sabtu aku sampai amik race kit dalam pukul 4 kot lepas tu datang balik dengar briefing 7.30pm. Masa dengar briefing takde le rasa apa sebab tak tau ko nak hadap apa esok kan..

7 Oktober 2018

Esok pagi aku sampai dalam pukul 7. Sempat la tengok kategori Elite berlepas. Check in basikal dulu sambil tu kekonon warming up laa.. Ngko tak tau kan nak ngadap apaa kejap lagi. 

Basikal ko ada loceng pink? Takde? 😆

Muka kekonon alaa rilek aaa naik beskal lalu trail je kannn.. Bersuka-suka dahulu la kauu
Kategori Amatur start 8.05am. Abam KJ pun adoo weyh.. Walaupun deme kata event tahun ni sunyi tak meriah, KJ tetap turun. Patutnya 54km (Lari 5km + Basikal dah lupa bape km + Tubing pun lupa bape km) *ngko dah kenapa semua lupa.

Kaler Hijau tu lari, Merah basikal, Biru tubing. Tapi CD tu takde so memang dia bagi aku basikal sebanyak-banyaknya.
Mula-mula lari tu ala-ala takpe laa sikit je ni.. Rilek sudah.. Lepas lari aku takde le kat depan sangat dan takde le belakang sekali. Amik basikal eh banyak lak basikal dah takde. 

Mula-mula takde le rasa susah sangat sebab kat atas jalan raya kan. Dalam 2 ke 3 km kot. Masuk je trail.. Eleh boleh la ni.. trail kan.. Dapat satu bukit ahh kayuh je laa.. Siap potong sorang mamat lagi tu. Bukit kedua steady lagi. Bukit ketiga kita layan jee.. Bukit keempat eh ada bukit lagi? Bukit kelima, wooii bila nak abis bukit ni? Haa kau, aku rasa lebih 10 bukit dia bagi.. Bersepah dan bertalu-talu dapat bukit. 

Aku siap tanya crew lepas 10km, ada bukit lagi ke? Dia jawab takde dah kak, tak jauh dah ni. Jilake betul lepas lalu kat dia pun dah terhidang bukit yang melazatkan. Pengalaman betul la.. memang sesuai sangat MTB = Mari Tolak Basikal. Aku tak lalu dah tengok bukit sebab kena tolak basikal. Naik bukit jalan kaki lenggang kangkung pun tak penat la sampai camtu sekali. Siap terfikir kalau aku tolak je basikal ni ke bawah pastu jalan je sampai finishing line pun tak penat camni agaknya. Siap ada sorang pakcik offer nak tarik aku. Apa lagii.. aku berpaut pada dahan yang rapuh, eh pada moto dia dia bawak aku naik bukit. Kahkahkah. Ada le 200m agaknya sebab dia nak pegi kebun tak lalu laluan aku. Selamat tinggal pakcik sob sob sob.

Setelah rasa macam nak pegi makan cendol naik basikal akhirnya sampai jugak kat tempat tubing. Malangnya hari tu sungai ada la sampai buku lali kahkahkah jadinya kena lari kat anak sungai. Aku yang bijak pandai lagi bergeliga ni boleh le tinggalkan hydration bag kat tempat letak basikal. Lepas tu bijak laksana pulak pegi bukak stokin dan kasut sebab menyangkakan nak lalu sungai tu dekat je, sekali hamek la kauuu.. Jauh le gak weyh. Tak pasal-pasal aku kepenatan siap ada runner nampak aku tengah amik udara segar bercanda di tepian sungai bagi aku minum air dan 2 ketul cekelat (nampak nau aku tengah penat). Bila dah sarung kasut tu malas le nk pakai stokin sebab kang dah abis pakai le stokin balik kan. Tengah jalan dalam sungai tetiba perasan stokin sebelah dah takde kat tangan. Ciss apala sangat masalah ni, kita lempaq la lagi satu stokin setel masalah kahkahkah. Ingatkan dah abis sungai dekat je nak sampai kat basikal sekali dia bagi aku 3 lagi bukit nak kena jalan woi.

Dapat basikal balik kena kayuh dalam 4km ke finishing line. Aku bedal je le dengan tak berstokin kayuh kasut basah lagi siap ada pasir-pasir dalam kasut. Ingatkan dah habis penderitaanku disitu sekali dia bagi lagi satu bukit kat jalan raya. Takde le tinggi mana tapi aku bukan cyclist kental maka aku rasa adoii la kenapa kau kejam sangat Rembau Challenge oi. Aku tolak je basikal tu kat road yang berbukit tu. Lepas tu seperti cerita dongeng kan ada penamat yang menggembirakan? Macam tu la akhirnya aku gembira abiskan event ni dalam masa 5 jam 34 minit dengan kedudukan no 11 kategori Women Open Individual. Cop! Jangan le kagum sangat kategori aku ni yang datang 12 orang je so kira aku second last laa kahkahkah. Tapi yang pasti ada 5 orang lagi kat belakang aku termasuk kategori lain.

Kelihatan peserta no 507 baru saja habis berlari dan cuba mendapatkan basikalnya.

Setelah mendapatkan finisher T kita kena la bergambar dengam basikal pink angat dan siap loceng pink. Basikal tak tau rupa apa dah.

Bangga gak la dapat abiskan acara ni walaupun bukan cemerlang dan sila la saspek eh respek kat finisher sebab route memang kejam mintak nyawa nak ngabihkan.


24 September 2018

Pulau Rawa 2016

Plan dengan kengkawan nak buat weekend short get away. Jadi kami berempat plan ke Pulau Rawa selepas puas google.

Pulau Rawa kat Mersing ye kengkawan. Hanya ada 2 resort je kat situ. Satu untuk yang bajet dia kepuk-kepuk, satu lagi bajet ciput macam kami la hahaha. Jangan terpedaya sangat k. Kami pergi 13 - 15 Mac 2016. Masa tu ko nak booking takde dalam memana website (tak tau la sekarang cemana), koram kena email dan booking. Takleh main redah sewa bot ke sana memang takde ye kakak adik abang. Harga masa tu kami dapat RM500 + 10% + 6% per person untuk 3 hari 2 malam termasuk makan 3 kali sehari, air masa breakfast je, bot pegi balik, sewa kayak snorkeling bla bla bla. Nak pegi sana koram kena bagitau sampai pukul berapa dan akan ada orang yang tunggu kat sana dan arrange bot ke pulau. Klik Alangs Rawa untuk check latest package dan cara-cara nak booking.



Turun bot je dah rasa macam syurga. Serius lawa tempat ni.

Jangan le harap ada ekon ye.. Nak ekon kena booking kat resort satu lagi. Tapi selesa je untuk aku dan kawan-kawan.
Konsepnya mambang biru air laut.
Tempat nak melawa.


Bilik air dan bilik mandi ada satu je pepandai la kongsi. Oh ye jangan la harap koram dapat mandi air paip macam kat rumah sebab air tu diaorang pakai air laut ditapis. Gosok gigi tu rasa masin-masin la... Amik air sembahyang pun rasa melekit. Koram boleh je bawak air mineral dari tanah besar.



Okey kita layan gambar je la kan lepas ni sebab aktiviti sepanjang 3 hari tu ialah mandi, snorkeling, mandi, tido, mandi, makan, mandi, lepak, mandi, pegi hiking, mandi, bergambar, mandi, lepak hahahahahahaha. 

Bot yang akan bawak koram ke Pulau Rawa.
The makciks yang tak reti guna gopro wakaka
Dewan makan ala-ala hawaii
Pakai 2 piece pun takpe gi makan jangan tak pakai pape k.
Bar yang disediakan. Masa Lunch dan dinner koram boleh order air apa yang koram nak tapi masa check out kena bayar air yang dah diorder tu k. Harga paham-paham je la kalau kat pulau.
Mat saleh suka lepak kat sini so diaorang sediakan buku untuk sun bath sambil membaca. Diaorang siap buat wedding laa ada yang buat pre wedding photoshoot la.. Weekend kekadang penuh diaorang je buat party kat sini.

Ni makan tengah hari rasanya. Bapak lapo sebab mengelinjang kann..
Ni yang aku amik masa makan malam.



Breakfast diaorang memang best. Ko order baru diaorang buat. Air pepagi diaorang bagi free.
Antara alatan yang boleh digunakan.
Segala yang ada boleh digunakan jangan rebut-rebut.
Kalau rajin boleh la ke kawasan tepi sikit tu ada macam gua (gua ke?) kat situ, and cantikla nak amik gambar.
Tengok air dia tuu.. Uuuu.. dah rindu.
Spot paling berebut nak bergambar kat buaian ni.
Ni kat resort satu lagi yang bayo mahal tu tapi boleh je lepak-lepak kat situ amik gambar ke.



3 ketul dugong kelemasan atas pasir.
Layan tengok diaorang main bola tampar.
Tak tau la apa motip main pasir camtu pastu gelak-gelak.
Haaa ni memang bukan budak je suka.. Mak bapak budak pun suka woii.. Slide terus jatuh dalam air laut. 
Panggilan pulau angaattt
Ni kat resort satu lagi.
Haaa.. nampak tak aku baru terjun dari slide tu. Syookkk wooo..
Aktivti pedajal aku. 

Muka sang juara gitteww.. Jyeeaahhhhh
Jalan kaki nak pegi mendaki
View kat atas memang superb weyh 

Rugi sape datang sini tak naik.

Antara laluan yang akan koram lalu. Jangan risau ada signboard pastu laluan dia satu tu je. 
Acah-acah gambar cover album kak Jenab.
Tangga menuju puncak kejayaan gitteww.. Tapi amik gambau masa dah turun.

View dua kat atas ni koram kena ada effort lebih sikit je bila sampai kat port puncak tu sebab ada puncak kat sebelah satu lagi.

Di kala senja menjelma, aku terpaku di tepian gantang menanti dikau wahai arjuna. Kemana kao menghilang? Mengapa tiada wasap? Mamposlaa puisi bengong dah keluar.


Layan sunset pun cara wooo.. Serius lawa kat siniii..
Acah-acah je pandai tu..
Akak cuba main bola tampar tapi sebab ketawa je lebih dua kali serve dah penat.

Kat sini ada sekor je anjing (Daisy) dan sekor je kucing (tak tau nama apa dan tak nampak pun). Yang banyak burung merak dan burung lain. Daisy ni sebab dah biasa sangat dengan pelancong dia akan buat sukati apa dia nak tanpa peduli orang tengok pun. 

Okey, harap enjoy la dengan major throwback ni dan akan ada throwback lain pulak. Bertabahla!

Hampir Kena Scam Lagi

 Cerita tahun lepas duduk dalam draf. Baru ni ha nak post. Gigih betul scammer sekarang. Minggu lepas (Akhir Nov 2024 punya cerita) aku dapa...