19 October 2013

Denggi, Siti dan Makcik.

Khamis lepas aku bangun pagi terus pening kepala dan badan rasa tak sedap. Hari Sabtu aku dah rasa okey siap hari Ahad aku boleh habiskan larian 12km dan berlari dalam hujan. Balik dari berlari aku pening kepala balik dan hari Isnin aku kena masuk wad kat Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang sampai hari Khamis.

Aku masuk wad G3, wad yang dikhaskan untuk pesakit denggi. Badan dah menggigil-gigil dan makcik sebelah katil tegur, "Malam nanti lagi sejuk." kata dia. Aku senyum je, badan rasa sakit. Aku cuma tahu anak dia nama Siti Sahidah atau Siti Shahidah. Tapi aku panggil Siti. 

Siti kena SLE sejak umur 12 tahun dan sekarang dia dah 22 tahun. SLE atau dalam Bahasa Melayu penyakit lupus. Tak tahu apa SLE tu? korang Google sendiri lah. Dah 10 tahun dia menghidap penyakit tu. Kali ni dia masuk ICU dan dah ada kat hospital selama sebulan sebab nak habiskan antibiotik. Kalau tengok muka dia dah bengkak, kulit kaki dia bertampal dengan kulit peha sebab bahagian kaki tu dah kena jangkitan kuman, tangan bertanda sana sini, pinggang melecet sebab pakai lampin pakai buang masa dia koma dalam ICU.  Dia adalah pesakit SLE pertama untuk negeri Selangor dan kakak dia pun ada SLE juga tapi kakak dia kena SLE kulit, Siti kena SLE darah. Maknanya darah dia dah dijangkiti kuman dan kuman tu memusnahkan sistem antibodi darah dalam badan. Masa tengok dia kena amik darah sampai dah takde tempat nak cucuk nak amik darah dia.

Hari Selasa aku dah rasa okey sikit, aku mula bersembang dengan mak Siti (aku lupa tanya nama mak Siti). Tengok keluarga dia datang melawat, tengok mak Siti bersembang dengan pakcik yang hantar makanan, pesakit, doktor, semuanya dia tegur dengan senyum dan gembira. Siti yang ada SLE tu pun nampak ceria je. Betapa kuatnya mak Siti menanggung kesedihan anak dia ada penyakit SLE tu kan?

Sembang-sembang dengan mak Siti, dia bercerita masa dia kat ICU baru-baru ni. Ada seorang makcik tua, mempunyai dua orang anak lelaki yang tinggal di rumah flat di tingkat 9. Abangnya seorang panjang tangan dan dah dipenjarakan. Adiknya bekerja untuk menjaga maknya tapi dah terlibat dalam kemalangan jalan raya hingga tulang rusuknya tercucuk ke organ dalaman. Selepas kemalangan doktor benarkan si adik ni pulang ke rumah tapi selepas beberapa ketika, anak makcik tu mengadu sakit dada dan meminta pertolongan jiran-jiran. Tau apa terjadi? Jiran-jiran dia buat tak tau je dan anak makcik tu terlantar selama 3 hari di rumah sehingga makcik tersebut meminta pertolongan orang-orang JPA mengangkatnya dari tingkat 9 dan menhantarkan ke hospital. Kenapa ye jadi macam tu? Sebabnya jiran-jiran kat situ dah menghukum makcik tu dan anak dia atas kesalahan anak dia yang pertama yang panjang tangan itu.

Lepas tu anak dia ditakdirkan meninggal di hospital dan cerita tak habis di situ sahaja. Makcik tu dah dalam kesedihan yang teramat sebab dia kata takkan ada sesiapa yang akan tolong uruskan pengebumian anaknya kalau dibawa pulang. Kakitangan hospital yang berasa kasihan tolong hubungi JKM dan merekalah yang uruskan pengebumian anaknya hingga ke liang lahad dan mereka juga mengamanahkan AJK surau di kawasan kediaman dia untuk buat doa tahlil.

Kesian kan? Tak rasa berdosa ke jiran-jiran tu buat makcik tu macam tu? Nanti jangan sampai giliran diaorang pulak yang kena baru dia tau macam mana rasa dipulaukan jiran-jiran. Tak payah la nak hukum makcik dan anak dia yang tak bersalah tu. Anak-anak pun kena ingat juga, jangan la buat perkara-perkara bodoh dan mengakibatkan sekeluarga jadi susah. Kalau kau ingat benda tu semua takde kesan kat keluarga korang, korang salah sebenarnya. Lain la korang memang lahir-lahir je memang takde mak bapak, abih tu takde pakcik? Nenek? Tuk sedara? Takkan ko tetiba terpacul kat muka bumi kan? Aku tak kata kalau korang takde keluarga tu boleh buat benda jahat tapi kan dalam agama Islam pun dah terang-terang bagitau berbuat baik sesama manusia malah aku rasa semua agama tak suruh korang buat jahat pun..

Haish.. kita sama-sama doa jiran-jiran makcik tu sedar ye.

Noktah.

No comments:

Post a Comment

Keputusan Terburu-Buru

Wah kemain tajuk post mengundang sangat, padehal nak cerita pasal marathon je. Dah bertahun tak masuk event lari ni sebab takde motivation. ...