10 October 2013

kasih sayang yang ajaib.

semalam aku terima satu panggilan daripada abah masa makan tengah hari. abah cakap,

"pakcik jamal dah meninggal"

...........

jumaat lepas aku dapat tahu baba (pakcik jamal) masuk hospital sebab demam, tapi dia keluar balik. ahad aku call mak (mak bibah) tanya keadaan dan mak cakap dah okey cuma tak berapa sihat dan disyaki menghidap parkinson.

malam selasa mak cakap baba tak boleh bernafas dan pergi hantar ke hospital dan didapati paru-paru baba dah dijangkiti kuman. sebelum zuhur baba pergi meninggalkan kami.




aku bukan ada dna baba pun. tapi baba dan mak jaga aku masa bayi sampai umur 3 tahun. mereka bukan orang kaya, baba kerja sebagai attendant hospital dan mak cuma suri rumah yang buat kuih dan hantar ke kedai makan untuk dijual. mereka tak ada zuriat pun. anak yang dia jaga adalah anak buah yang diberi oleh saudara sebagai anak angkat.

mak mendapat upah sebanyak rm60 sebulan dengan menjaga aku pada tahun 80an. rumah yang mereka diami bukan rumah batu tapi rumah kayu yang disewa. pintu kayu yang boleh dibuka atas dan bawah. bila malam kita tutup pintu bawah dan biar pintu atas terbuka supaya dapat masuk angin malam. beratapkan zink dan pembahagian rumah tu memang rumah dulu-dulu. laluan masuk dan tempat duduk ruang tamu ada bertingkat. kalau nak pergi dapur, kena turun tangga. pintu bilik tutup pakai langsir. bilik air satu kat dalam rumah untuk mandi siap ada satu tempayan besar dan tandas kat luar dapur. pakai lampu mentol je. ada serambi yang dibina tinggi sikit untuk orang bertandang yang digunakan untuk aktiviti mengaji dan bersembang waktu petang. sebab serambi tu tinggi, jadi ada bahagian bawah rumah yang orang dulu-dulu panggil kolong. kolong ni baba letak basikal dia yang ada bakul dia tu yang dikayuh tiap-tiap hari untuk pergi kerja. baba takde motor dan kereta. sampai akhir hayat dia setia dengan basikal.

hujung minggu baba amik upah buat bakul telur orang kawin guna kotak rokok dan gunting pakai gunting berketak tu. lepas tu stapler buat kasi ada tangkai. setiap hari  masa lunch baba balik rumah makan. lepas tu baba akan duduk tepi tingkap dan hisap rokok benson & hedges. lepas tu baba kayuh balik pergi hospital.

aku ingat lagi masa tu mak isi minyak masak pakai tin yang besar tu dan pam keluar kat botol kaca untuk memasak. mak masak pakai dapur minyak tanah sebab tak mampu nak beli dapur gas. masa makan selalu ada pokde, adik mak. dia bekas askar. aku dipaksa membaca suratkhabar setiap hari bila dia datang. bila aku tengah makan aku kena berbudi bahasa jemput dia makan walaupun dia tak nak makan.

mak tinggal dan jaga arwah ayahnya sampai ke nafas terakhir. mak mengajar kanak-kanak mengaji pada waktu petang termasuk aku yang dia jaga. aku akan jadi anak murid yang dapat giliran pertama mengaji.

kak lah (anak mak) bijak, dia masuk sekolah seri puteri. lepas tu dapat biasiswa dalam course akauntan ke u.s serta sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. dia tinggal di lembah kelang sekarang.

depan rumah ada pokok rambutan merah dan kat bawah pokok tu ada pangkin yang boleh duduk masa petang-petang. mak suka tanam pokok bunga dan bunga yang paling aku ingat mak suka ialah portulaca tu. memang banyak kat area tangga serambi. cantik sangat.

depan rumah tu ada banyak rumah sewa. ada orang india dan aku berkawan dengan anak dia nama 'manggis'. haha aku tak tahu betul ke tak nama dia tu. rambut dia panjang dan berkutu. sebab aku selalu main dengan dia maka aku pun berkutu juga.

tepi rumah ada satu nenek tu, badan dia gemuk. aku panggil mak dah. dia duduk sorang-sorang dan aku selalu datang main kat rumah dia masa tengah hari sebab dia ada koleksi barang dapur mini. dari periuk, lesung batu, senduk, pinggan dan macam-macam lagi.

aku sangat dimanjakan, tak pernah dipukul dan sampai orang kata aku anak jamal. haha, sampai takut la parents aku nak hantar aku kat rumah mak. aku kena balik rumah abah dan aku sedih sangat. walaupun aku kecil, aku menangis malam-malam sebelum tidur. masa abah ambil aku naik kereta, dia letak aku kat pintu sebelah kanan, aku lari keluar pintu kiri. aku siap datang rumah mak senyap-senyap duduk kat tepi tengok bumbung rumah sambil menangis. aiyak, sambil tulis ni pun dah mengalir air mata aku.

aku sampai sekarang memang selalu juga datang rumah mak. semalam pertama kali aku nampak mak sedih sebab baba dah takde. sepanjang perkahwinan mereka tak pernah aku tengok mak dan baba berjauhan. dan yang paling aku kagum mereka tak pernah risau tak ada zuriat dan tetap setia sampai akhir hayat.

kehidupan mereka memang sangat sederhana, tak kaya dengan harta dan zuriat tapi disayangi oleh semua orang.

aku tak tahu aku boleh bersedih sampai macam ni walaupun baba bukan bapa sebenar dengan aku.

kasih sayang untuk kanak-kanak memang ajaib kan?  

No comments:

Post a Comment

Keputusan Terburu-Buru

Wah kemain tajuk post mengundang sangat, padehal nak cerita pasal marathon je. Dah bertahun tak masuk event lari ni sebab takde motivation. ...